APAKAH ANDA MENGHIDAP PENYAKIT DARAH TINGGI ATAU HIPERTENSI


Apakah penyakit tekanan darah tinggi?

Penyakit tekanan darah tinggi atau penyakit hipertensi adalah penyakit kronik yang boleh membawa kepada komplikasi teruk. Seramai 37% populasi Malaysia mengidap penyakit tekanan darah tinggi. Secara amnya penyakit tekanan darah tinggi tidak mempunyai penyebab khusus tetapi faktor seperti sejarah ahli keluarga yang mempunyai penyakit darah tinggi, obesiti, tekanan (stress) dan diabetes telah dikaitkan kepada punca penyakit ini. Pengidap tekanan darah tinggi lazimnya tidak mempunyai sebarang gejala (symptom) khusus. Tekanan darah yang tinggi akan menyebabkan organ-organ seperti jantung, otak dan ginjal didedahkan kepada tekanan tinggi yang kronik. Pendedahan kepada tekanan darah tinggi ini akan mengakibatkan komplikasi saluran darah sempit di otak dan jantung menyebabkan stroke (angin ahmar) dan serangan jantung. Kegagalan ginjal (buah pinggang) juga boleh berlaku jika tekanan darah yang tinggi tidak dikawal. Penyakit tekanan darah tinggi boleh dielakkan dengan mengamalkan cara hidup sihat.

Bilakah individu itu dikatakan mengidap penyakit darah tinggi 

Seseorang itu dikatakan mengidap penyakit tekanan darah tinggi apabila bacaan tekanan darah sistolik >140 atau diastolik > 90, (>140/90). Bacaan tekanan darah tidak perlu kedua-duanya (sistolik dan diastolik) tinggi memadai salah satu bacaan tinggi secara berterusan selama 3-6 bulan. Diagnosa penyakit tekanan darah tinggi hanya boleh dilakukan oleh doktor setelah pemantauan tekanan darah dan penilaian risiko kardiovaskular dijalankan. Penentuan kepada penyakit darah tinggi tidak bergantung kepada gejala (simptom) yang di alami oleh individu tersebut. Contohnya sakit kepala atau leher tidak semestinya disebabkan oleh tekanan darah tinggi.  


Apakah tindakan yang perlu dilakukan

Oleh kerana secara amnya penyakit tekanan darah tinggi tidak mempunyai gejala khusus, individu hendaklah membuat pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya 6 bulan sekali di klinik kesihatan yang berdekatan. Doktor akan memberi rawatan yang sesuai jika diagnosa penyakit tekanan darah tinggi telah dikenal pasti.

Komplikasi penyakit tekanan darah tinggi

Penyakit tekanan darah tinggi merupakan salah satu penyakit kronik. Penyakit tekanan darah tinggi juga boleh disebabkan oleh masalah buah pinggang, penyakit endokrin dan lain-lain.

Tekanan darah tinggi yang kronik akan menyebabkan perubahan atherosclerosis pada dinding salur darah. Ini akan mengakibatkan salur darah menjadi sempit pada jantung, otak dan salur darah utama. Pengaliran darah menjadi tidak lancar dan boleh mengakibatkan  stroke (angin ahmar) dan serangan jantung (heart attack myocardial infarction). Tekanan darah tinggi yang tidak terkawal juga akan menyebabkan buah pinggang mengalami tekanan tinggi yang kronik. Ini akan menyebabkan kerosakan kepada tisu buah pinggang dan selanjutkan akan mengakibatkan kegagalan buah pinggang.

Perkara yang boleh menyebabkan peningkatan kepada tekanan darah

Tekanan darah boleh meningkat dalam keadaan tertentu seperti stress, gelisah, penat, kesakitan, berdebar-debar, ketakutan dan sebaik selepas melakukan aktiviti fizikal seperti bersenam. Walau bagaimanapun ini tidak bermakna individu itu mempunyai penyakit tekanan darah tinggi kerana tekanan darah ini akan kembali normal. Diagnosa penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi) dibuat apabila tekanan darah tinggi berterusan selepas pemantauan dilakukan dalam jangkamasa 3-6 bulan.

Merokok, pengamalan cara hidup  tidak aktif stress dan pemakanan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Anda digalakkan membuat pemeriksaan tekanan darah di premis kesihatan yang terdekat sekurang-kurangnya 6 bulan sekali.

Cara untuk mengawal tekanan darah tinggi

Cara untuk mengawal tekanan darah tinggi adalah:

Mengamalkan cara hidup yang sihat seperti bersenam secara berkala.

Amalkan permakanan sihat dan seimbang

Kurangkan pengambilan makanan yang mengandungi garam dan kolesterol berlebihan

Kekalkan jisim berat badan unggul (BMI <23)

Pengurusan stress secara berkesan

Tidak merokok

Mengamalkan cara hidup aktif

Menjalankan pemeriksaan tekanan darah secara berkala

Selain dari langkah-langkah di atas, pesakit yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi hendaklah patuh kepada rawatan ubat-ubatan yang diberi oleh Doktor.

Faktor untuk mendapat penyakit tekanan darah tinggi

Penyakit tekanan darah tinggi (hipertensi) dikaitkan dengan beberapa faktor risiko. Faktor risiko terbahagi kepada faktor risiko yang boleh diubah dan faktor risiko yang tidak boleh diubah.

Contoh faktor risiko yang tidak boleh di ubah adalah:

  • Sejarah keluarga (genetik)
  • Gender (lelaki lebih berisiko berbanding dengan perempuan)
  • Umur (peningkatan umur memberi risiko kepada tekanan darah tingg)

Contoh faktor risiko yang boleh diubah:

  • Merokok
  • Diabetes
  • Obesiti
  • Tahap kolesterol yang tinggi
  • Pengambilan alcohol
  • Pengambilan garam berlebihan
  • Stress
  • Cara hidup sedenteri (tidak aktif)

Faktor risiko di atas boleh diubah melalui pengamalan cara hidup sihat dari aspek pemakanan dan aktiviti fizikal. Pengurusan stress juga membantu mengawal tekanan darah

Amalan cara hidup sihat yang di sarankan untuk mengekalkan tekanan darah normal

Amalan cara hidup sihat yang disarankan adalah:

  • Mengekalkan berat jisim badan unggul BMI <23 dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan sihat serta aktiviti ffizikal yang bersesuaian
  • Aktiviti fizikal secara berterusan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu
  • Berjalan kaki secara deras adalah satu-satunya cadangan aktiviti fizikal yang praktikal (10,000 langkah)
  • Tidak merokok
  • Kurangkan pengambilan makanan yang berkolesterol tinggi
  • Kurangkan pengambilan garam secara berlebihan
  • Elakkan pengambilan alcohol
  • Pengurusan stress dan emosi secara berkesan.

Bagaimanakah cara untuk menilai tahap tekanan darah

Penilaian tekanan darah boleh dibuat menggunakan BP set seperti yang terdapat di klinik kesihatan dan hospital kerajaan dan swasta. Bacaan tekanan darah hendaklah diintepretasi oleh Doktor. Sebarang tindakan selanjutnya akan diberi oleh Doktor yang membuat pemeriksaan. Saringan tekanan darah tinggi menggunakan BP set hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya sekali dalam jangkamasa 6–12 bulan.

Individu juga boleh membeli BP set dari kedai farmasi dan membuat pengukuran tekanan darah sendiri (self-monitoring BP) tetapi semua bacaan tekanan darah yang diambil hendaklah direkodkan. Intepretasi bacaan hendaklah dirujuk kepada Doktor.

Sumber: myhealth.gov.my(kkm)

Post a Comment

0 Comments