BELAJAR CARA-CARA BERWUDUK


Pengertian Wuduk

Dari sudut bahasa, wuduk bererti kebaikan dan kebersihan.Definisi kamus dewan: menyucikan diri (sebelum sem­bahyang), mengambil air sembahyang: tidak sah ~ kalau tidak disertakan niat; tawaduk II (Kamus Dewan Edisi Keempat),

Manakala dari sudut lain wuduk ialah penggunaan air yang suci pada anggota tertentu (iaitu membasuh muka, dua belah tangan hingga ke siku, menyapu kepada dan membasuh kedua-dua belah kaki) dengan dimulai dengan niat.

Syarat Sah Wuduk

Terdapat beberapa syarat yang menjadikan wuduk itu sah.

Antaranya adalah:

1. Islam

2. Mumaiyiz iaitu kanak-kanak yang sudah pandai membezakan antara perkara yang baik dengan yang buruk.

3. Suci daripada haid dan nifas

4. Menggunakan air mutlak iaitu air yang suci lagi menyucikan.

5. Tidak berubah sifat air wuduk akibat benda asing yang melekat pada anggota wudhu. Contohnya sabun, bedak atau apa-apa sahaja yang melekat pada anggota wuduk itu yang mengubah rasa, rupa atau bau air wuduk itu.

6. Sekiranya ada benda asing yang melekat pada tubuh, ia perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum berwuduk.

7. Tidak ada benda yang menghalang air sampai kepada anggota wuduk seperti cat, getah, pengilat kuku, lilin, kapur, minyak atau daki tebal yang melekat di celah jari, di bawah kuku atau di celah rekahan pada tumit.

Rukun Wuduk

Rukun wuduk bermaksud perkara-perkara asas yang wajib dilakukan ketika berwuduk.

Jika tidak dibuat perkara rukun ini, maka wuduk tidak sah.

Ada 6 Rukun wuduk iaitu; niat, membasuh muka, membasuh tangan hingga ke siku, menyapu kepala, membasuh kaki hingga ke buku lali dan tertib.

Sekiranya tertinggal salah satu, maka wuduk itu tidak sah.

Rukun Wuduk Pertama:

Niat Wuduk

Lafaz niat wudhu adalah: Nawaitu Rafaal Hadasi As-Ghori Lillahi Taala .
Niat dalam Bahasa Melayu:
Sahaja aku mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala.

Lafaz niat dalam bahasa arab yang diucapkan secara lisan hukumnya sunat.

Niat yang wajib ialah lintasan dalam hati yang dihadirkan ketika mula membasuh sebahagian muka.

Sebaik-baiknya, dilafazkan niat sebelum mula mengambil wudhu untuk memudahkan berniat dalam hati.

Rukun Wudhu Kedua:

Membasuh Muka

Bahagian muka yang wajib dibasuh dengan mengalirkan air meliputi bahagian anak rambut di dahi sehingga ke bawah tulang dagu dan melebar dari anak telinga kanan sehingga ke anak telinga kiri termasuk rambut yang tumbuh di antaranya

Sebaiknya, dimulakan basuhan di bahagian atas muka membawa ke bahagian bawah.


Rukun Wudhu Ketiga:


Membasuh Dua Tangan Hingga ke Siku

Wajib meratakan air ke semua bahagian di antara hujung jari hingga ke siku.

Sebaik-baiknya dimulakan basuhan dari hujung jari hingga melebihi siku dengan mendahulukan tangan kanan.


Rukun Wudhu Keempat:


Menyapu Sebahagian Kepala

Memadai menyapu air pada ubun-ubun, walaupun sekadar membasahkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut asalkan rambut yang dibasahkan itu berada dalam had kepala.

Tidak sah menyapu air pada rambut yang melepasi had kepala seperti rambut pada bahagian bahu atau hujung rambut yang berikat.

Adalah lebih baik menyapu keseluruhan kepala sebagaimana amalan Rasulullah SAW.


Rukun Wudhu Kelima:

Membasuh Kaki hingga ke Buku Lali

Wajib membasuh kaki dari hujung jari hingga ke buku lali.

Sekiranya sebahagian kaki yang wajib dibasuh kudung, maka wajib membasuh bahagian yang masih ada.

Apabila seseorang itu terlupa membasuh kaki selepas beredar dari tempat wudhu, dia hanya perlu membasuh kaki selagi basuhan wudhu pada kepalanya belum kering.

Tidak perlu mengulang basuhan dari awal.

Rukun Wudhu Keenam:

Tertib

Setiap rukun wudhu mesti dilakukan mengikut turutan.



Secara ringkas ya Cara/Langkah Berwuduk Dengan Betul Dan Sempurna  adalah seperti berikut:


1. Membersihkan kedua tangan.(3x)

2. Berkumur-kumur.(3x)

3. Membersihkan hidung.(3x)

4. Membasuh muka(3x), Berniat(dalam hati) :- Sahaja Aku Mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala.

5. Membasuh tangan kanan dan kiri hingga ke siku.(3x)

6. Menyapu air ke kepala.(3x)

7. Menyapu telinga kanan dan kiri.(3x)

8. Membasuh kaki kanan dan kiri hingga ke buku lali.(3x)

9. Doa :- Asy hadu al-laa ilaha il-lallah, wahdahu laa syarikalah,Wa asy hadu anna Muhammadan abduhu warasuluh,Allahummaj alnii minat tauwaa bin, waj alnii minalMutatah hirin, Waj alnii min ibadikas solihin


Allahualam..



Post a Comment

0 Comments