Gerhana Bulan Menginsafi Kekuasaan Allah


Gerhana Bulan Menginsafi Kekuasaan Allah

Peristiwa gerhana bulan adalah suatu iktibar kepada manusia bahawa kita adalah makhluk Allah SWT yang kerdil dan lemah. Fenomena ini
menunjukkan betapa kekuasaan Allah SWT mengatasi segala-galanya di dunia ini. Sesungguhnya Allah SWT Maha Berkuasa untuk menetapkan segala yang berlaku di langit dan di bumi. Tidak ada sesiapa pun yang
dapat menghalang Qada' dan Qadar-Nya. Benarlah firman Allah SWT di dalam surah Fussilat ayat 37 yang bermaksud:

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, dan sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah."

Sebagai orang beriman, kita mestilah percaya dengan penuh yakin bahawa Allah SWT adalah pentadbir seluruh alam ini. Peredaran bulan dan
matahari yang teratur adalah atas kudrat dan iradat Allah SWT. Lantaran itu, kita dituntut untuk melihat dan menghayati setiap yang diciptakan Allah SWT supaya melaluinya kita akan sentiasa membesarkan-Nya dan meningkatkan keimanan kepada-Nya. Tidaklah Allah SWT menjadikan setiap sesuatu itu sia-sia, malah terdapat hikmah di sebalik setiap kejadian.

Justeru, fenomena gerhana bulan ini seharusnya mengingatkan kita mengenai peristiwa hari kiamat yang pasti berlaku. Peristiwa gerhana bulan bukanlah petanda bahawa sesuatu musibah itu akan menimpa hidup manusia. Hakikatrnya, setiap musibah yang melanda dunia ini adalah disebabkan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri. Lihatlah pada ketika ini, musibah seperti penularan wabak pandemik coVID-19 yang telah menjejaskan kehidupan manusia. Dengan peningkatan jumlah kes dan ramai yang telah terkorban akibat pandemik ini seharusnya meletakkan diri kita untuk sama-sama memainkan peranan menamatkan musibah ini. Janganlah kita menjadi penyebab kepada penularannya akibat kelalaian dan kealpaan kita untuk mematuhi arahan dan SOP pihak berkuasa.

Sebenarnya kejadian gerhana merupakan peringatan Allah SWT kepada manusia supaya segera insaf, gerun dan takut kepada ancaman Allah SWT. Oleh itu, mimbar mengajak sidang jemaah sekalian, marilah kita sama- sama mengambil pengajaran daripada peristiwa gerhana bulan ini dengan rasa penuh keinsafan dan bermuhasabah atas segala dosa yang pernah kita lakukan dengan melazimi taubat dan istighfar kepada Allah SWT.

Di samping itu, perbanyakkanlah melakukan amal ibadah, kebajikan, dan doa supaya Allah SWT menjauhkan kita daripada ditimpa bala bencana, wabak penyakit dan musibah. Mimbar mengingatkan sidang jemaah dan seluruh umat Islam, jauhilah segala perbuatan syirik, khurafat
dan tahyul yang boleh menjejaskan akidah Islam. Imam Muslim RH meriwayatkan hadis daripada Abu Mas'ud al-Ansari Radhiyallahu 'anhu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati
atau hidup seseorang. Apabila mengetahui gerhana berlaku kamu hendaklah bersolat dan berdoa sehingga cahaya kelihatan semula.”

kesimpulan daripada khutbah, antaranya;

Pertama : Tingkatkan keimanan kepada Allah SWT dengan meyakini bahawa Allah jualah yang menguasai seluruh kejadian alam ini.

Kedua: Insaf dan bertaubatlah terhadap segala dosa yang pernah kita lakukan, takutlah kepada ancaman Allah SWT kepada mereka yang melakukan kerosakan dan kemungkaran di muka bumi.

Ketiga: Perbanyakkanlah melakukan amal ibadah, kebajikan dan berdoa supaya Allah SWT menjauh kan kita daripada bala bencana, wabak penyakit dan musibah. Marilah kita memohon perlindungan, kesejahteraan, keselamatan dan kemenangan dalam memerangi pandemik COVID-19 di negara ini.

Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 5:
bermaksud;

"Dia lah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dia lah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah) pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmah sesuatu yang dijadikan-Nya).

Sumber/Kredit: e-khutbah jawi.com.my

Post a Comment

0 Comments