Ikhlas Syarat Amal Diterima


Ikhlas Syarat Amal Diterima , 
Pesanan Dari Mimbar

Ikhlas itu sifat yang tertinggi dan mulia di sisi Allah SWT yang menjadi penentu amal soleh yang dilakukan setiap hamba diterima, kerana amal soleh dengan niat yang betul mengikut panduan Syariat dan ikhlas akan diterima di sisi
Allah SWT, firman-Nya di dalam Al-Quran:

تزيل الكتب من آل العزيز الحكيم و إنا أنزلت إليك الكتب بالحق فاغبي الله مخلصا له آلي
و ألا ي آلي آلخالص...

Maksudnya: “Kitab (Al-Quran ini) diturunkan oleh Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) dengan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya. Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik..." (Surah Az-Zumar, ayat 1-3)

Ikhlas itu juga adalah sifat hati. Satu rahsia daripada beberapa rahsia yang Allah SWT letakkan atau simpan dalam hati seorang hamba Allah yang Allah SWT kasih kepadanya. Ikhlas dalam makna hanya Allah SWT yang berhak disembah, tanpa ada sedikitpun walau setitik syirik kepada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:

Dia-lah Yang hidup kekal, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, maka sembahlah Dia dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya. Segala puji bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”. (Surah Ghafir, ayat 65)

Justeru itu, ikhlas tidak dapat dipamerkan, ikhlas bukan sekadar kata-kata. Kata-kata "saya ikhlas” itupun belum menjamin itulah ikhlas. Ikhlas ia tersembunyi dalam hati seorang hamba Allah kerana hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui sama ada seorang itu ikhlas atau sebaliknya dalam segala amal ibadah mahupun apa jua pekerjaan yang dilakukannya.

Imam Al-Ghazali rahimahullahu Ta'ala berkata: Niat yang lurus dan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala lebih tinggi martabat dan kedudukannya daripada pekerjaan yang semata-mata hanya didasarkan pada niat untuk
memperoleh keduniaan.

Ibrahim bin Adham rahimahullah berkata: Ikhlas itu ialah benar niat serta Allah 'Azza wa Jalla. Ikhlas menjalankan perintah agama Islam, firman Allah SWT yang bermaksud:

"Pada hal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan yang demikian itulah agama yang lurus". (Surah Al-Bayyinah, ayat 5)

Ayat ini, mengikut ahli tafsir menjelaskan bahawa ibadat kepada Allah Yang Maha Tunggal, mengikhlaskan ketaatan kepada Allah SWT menjauhi syirik dan pendokong- pendokongnya dan mendirikan solat dan menunaikan zakat itulah agama yang benar.
Manakala ciri agama yang benar itu ialah mempunyai aqidah yang bersih dalam hati, dalam niat, dalam kata-kata dan perbuatan atau amalan.

Maka dalam segala amal ibadat, amal soleh atau amal-amal wajib dan juga termasuk amal-amal sunat seperti membaca Al-Quran, istighfar, zikir, sedekah dan sebagainya mesti semua itu dilakukan kerana Allah Ta'ala untuk Allah SWT semata-mata bukan kerana yang lain. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menerima segala amal ibadah hamba-Nya melainkan dengan ikhlas semata-mata kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT lagi:

قلن إن صلاتي وشكي ومحياي ومماتي لله رب العين
Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, hanya untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam". 
(Surah Al-An'am, ayat 162)

Ayat ini, menjelaskan serta menegaskan bahawa segala amal ibadah, solat, puasa, zakat, haji, umrah, zikir, istighfar, sedekah, derma dan lain-lain pekerjaan atau amal-amal soleh yang kita amalkan hendaklah semata-mata ikhlas, yakni dengan niat yang bersih kerana Allah Ta'ala untuk Allah SWT Tuhan Yang memelihara dan mentadbir sekalian alam semesta ini. Kerana itu, sembahlah Allah SWT walaupun golongan kafir tidak suka, firman Allah SWT:

فادعوا الله مخلصين له آليين ولو كره الكترون و
Maksudnya: “Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepada-Nya, meskipun orang kafir tidak menyukainya.” 
(Surah Al-Mu'min, ayat 14)

Hamid Al-'Affaf rahimahullah pernah berkata: Jika Allah SWT mahu membinasakan seseorang, maka dihukum dengan tiga keadaan. Diberinya ilmu tanpa amal, diberinya bersahabat
dengan golongan soleh tetapi tidak mengikut jejak mereka serta tidak beradab terhadap mereka dan diberi jalan untuk berbuat taat tetapi tidak ikhlas.

Orang atau hamba Allah yang ikhlas tidak akan dapat dipengaruhi, digoda dan disesatkan oleh syaitan, firman Allah SWT yang bermaksud:

Iblis berkata: Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang ikhlas di antara mereka”. (Surah Al-Hjr ayat 39-40)

Beramallah dengan ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala, jauhi syirik dan riya', sebagaimana Fudhail bin 'lyad rahimahullah berkata: Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya'. Beramal kerana manusia adalah syirik. Ikhlas itu ialah menyelamatkan kamu daripada keduanya.

Sebagai kesimpulan khutbah hari ini, khatib ingin mengambil beberapa tips dan buah tangan terbaik supaya kita sentiasa berusaha dan melatih diri kita menjadi hamba Allah SWT yang benar-benar ikhlas dan akan termasuk dalam golongan orang yang benar-benar mukhlisin, antaranya:

1. Beramal dan beribadatlah dengan ikhlas sebagaimana perintah Allah SWT di dalam Al-Quran. 

2. Ikhlas itu adalah satu rahsia Allah SWT yang Allah SWT letak dan simpan dalam hati seorang hamba yang Allah SWT kasih.

3. Allah SWT tidak akan menerima segala amal dan amal ibadat melainkan amalan yang ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala untuk Allah SWT.

4. Ikhlas itu mesti bermula dengan niat yang benar dan betul kerana Allah Ta'ala.

5. Amal yang sedikit dengan ikhlas semata-mata kerana Allah Ta'ala sudah memadai, berbanding amal yang banyak tetapi tiada keikhlasan.

In syaa Allah akan berjaya, beruntung dan berbahagialah orang beriman, bertaqwa, beramal soleh lagi ikhlas dalam segala amal ibadah dan pekerjaannya semata-mata kerana Allah Ta'ala. Mudah-mudahan kita semua, anak isteri, ahli keluarga, jiran, sahabat dan seluruh masyarakat Islam termasuk dalam kalangan hamba-hamba Allah SWT yang ikhlas dan mukhlisin yang akan bersama-sama para solihin, siddiqin dan para anbiyaa'.

Wallahu'alam.

Sumber/kredit: Jheains


Post a Comment

0 Comments