Memeluk Islam Selepas Mencederakan Wanita Muslimah


Memeluk Islam Selepas Mencederakan Wanita Muslimah

Selepas peristiwa berdarah 11 September 2001 yang memusnahkan bangunan World Trade Centre di Amerika Syarikat, umat Islam Amerika dimusuhi, dipandang serong, dan dilabel sebagai pengganas. Setiap langkah dan tidak tanduk mereka dicurigai. Dunia yang luas menjadi sempit untuk mereka. Namun, siapa sangka, tekanan dan cemuhan yang diterima menjadikan umat Islam Amerika semakin kuat. Bukan kuat fizikal, tetapi kuat jiwa dan akhlak.

Menurut hukum fizik ciptaan Allah s.w.t., tekanan akan membuahkan tenaga lonjakan yang lebih kuat. Lihat sahaja bagaimana reaksi sebuah bola yang ditekan masuk ke dalam tong air. Yang menekan berharap tekanan akan menyembunyikan bola daripada pandangan umum, namun natijahnya berbeza. Bola itu semakin kuat meronta, menjulang naik tanpa mampu dihalang, dan akhirnya terserlah pada pandangan semua. Itu adalah perihalnya kekuatan iman umat Islam.

Semakin mereka jauh daripada zon selesa, kekuatan mereka semakin bertambah, ini adalah kisah Ann Spaulding yang dipetik Dari Buku Belajar, Melihat, Mentafsir. Diceritakan asalnya oleh seorang murid mualaf bernama Santiago Solah Mora. Beliau telah memeluk agama Islam selama lima tahun di Colombia. Santiago suka berkongsi kisah seorang mualaf di Amerika yang mampu merealisasikan sunnah akhlak Rasulullah SAW dalam dakwahnya walaupun usia akidahnya baru setahun jagung.

Diceritakan Ann Spaulding masih baru dengan Islam. Hidayah Allah s.w.t. menjengah pintu hatinya sebelum peristiwa berdarah 11 September. Tiga hari selepas peristiwa itu, iaitu pada 14 September 2001, beliau mengunjungi sebuah pusat membeli-belah bagi mencari keperluan harian. Beliau yang juga bekas veteran tentera Amerika yang cacat tidak sedar, malang sedang menghampirinya. Kehadirannya yang lengkap bertudung membangkitkan kemarahan bersulam benci seorang lelaki kulit putih dalam pusat membeli-belah itu. Sentimen 11 September yang masih baru berlaku menghilangkan kewarasan lelaki itu. Mindanya yang dangkal menyimpulkan, wanita bertudung ini adalah sebangsa dengan pengganas yang meruntuhkan bangunan berkembar di New York beberapa hari lepas. Kemarahan dan kebenciannya mencanak naik, lalu seakan orang gila dia melanggar Ann Spaulding dengan troli barang. Akibatnya, Ann Spaulding jatuh di lantai dan sebuah rak berhampiran jatuh menimpanya. Serangan itu mengakibatkan Ann Spaulding mengalami kecederaan di kepala, belakang, buku lali, dan sebelah kakinya.

Nasib tidak berpihak kepada lelaki itu kerana aksinya menarik perhatian pengawal keselamatan pusat membeli-belah itu. Dia ditangkap dan akan dihukum. Lelaki itu juga begitu terkejut apabila mendapati Ann Spaulding bukan seorang wanita Arab, tetapi bekas veteran perang yang berasal dari Amerika. Untuk sesetengah penduduk Amerika, veteran perang adalah hero yang tidak sepatutnya disentuh apatah lagi dicederakan sedemikian rupa. Ann Spaulding mempamerkan akhlak Muslim yang terbaik apabila memberikan lelaki itu dua pilihan, sama ada merengkok dalam penjara ataupun menerima syarat damai darinya. Siapa tahu, dengan syarat ditawarkan Ann Spaulding menjadi sebab hidayah Islam pada kemudian hari. Ann Spaulding tidak kedekut dakwah.Dia ingin berkongsi kelazatan hidayah Islam yang sudah dikecapnya dengan penyerangnya. Dakwaan terhadap penyerangnya akan digugurkan kalau dia sanggup menghadiri 10 sesi pengenalan kepada Islam.

Bimbangkan hukuman yang akan dihadapinya, lelaki itu memilih bagi mengikuti 10 sesi kelas pengenalan mengenai Islam. Dengan izin Allah s.w.t., lelaki itu akhirnya tertarik dengan Islam dan meneruskan pengajiannya berkenaan Islam walaupun selepas selesai 10 sessi yang dikontrakkan. Akhirnya, kira-kira 6 bulan selepas itu pada bulan Februari 2002, beliau memeluk Islam dan bergiat sebagai sukarelawan dakwah di bandar tempat tinggalnya. 

Menurut Ann Spaulding, setiap kali melihat parut luka di badannya, dia mengucapkan syukur kepada Allah s.w.t. kerana luka itu menjadi sebab Islamnya lelaki yang pada asalnya membenci Islam.
Kisah beliau ini boleh dibaca dari link ini: http://islamicbulletin.org/services/new muslims/ann.htm

Subhanallah! Ini adalah bukti keindahan akhlak seorang slam. Benarlah ayat Allah s.w.t. Yan bermaksud:-

"Dan tidaklah sama kesannya dan hukumnya perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan yang ditujukan kepadamu dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau melakukan demikian, orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta-merta menjadi seolah-olah seorang sahabat karib".
(Surah Fussilat, ayat 34)

Islam adalah agama dakwah dan akhlak. Dakwah kepada bukan Islamula termasuk dalam sunnah utama yang awal dipaktikkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabatnya. Umat Melayu di Nusantara mengenali Islam kerana sunnah ini. Tanpa sunnah ini, pastinya kita masih belum mengenal nikmat iman dan Islam. Akhlak yang baik mampu menyihir sesiapa sahaja bagi menerima Islam. 

Ayuhlah kita tingkatkan akhlak supaya seiring dengan sunnah Rasulullah SAW.

Hidayah Milik Allah

Kredit/rujukan; Buku berjalan, melihat, mentafsir.

Wallahu'alam.

Post a Comment

0 Comments