Mengampulah Hanya Pada Allah


Selalu mendengar cerita tentang cabaran yang dihadapi di tempat kerja. Pelbagai cara digunakan oleh para pekerja di pejabat untuk memenangi hati ketua atau bos. Banyak yang menggunakan kaedah yang tidak sihat seperti mengampu, menggoda dengan daya tarikan fizikal dan sebagainya.

Kemampuan memenangi hati ketua atau bos seolah-olah menjadi satu jaminan untuk mendapat kenaikan pangkat walaupun kelayakannya tidak seberapa. Oleh itu, ingin dikongsikan tip untuk semua teman dan pekerja di luar sana.
Gunakanlah petua untuk "cepat naik pangkat mengikut al-Quran":

1) Bekerja dengan amanah

Allah berfirman: "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya. Apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, menghukumlah dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." 
(Surah al-Nisa': 58)

2) Menjaga hak Allah, batasan agama dan akhlak

Allah tidak suka kepada setiap orang yang mempertuhankan kerja” sehingga lupa arahan-
Nya. Seolah-olah kerja atau ketua yang memberinya rezeki. Firman Allah: “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan)Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa."
(Surah Taha: 132)

3) Perkara paling utama dan paling penting adalah bekerja keras untuk mengampu Allah dengan melakukan segala suruhan-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya. 

Kerana Allah adalah "pemegang kuasa yang sebenar". 
Allah berfirman: "Katakanlah (wahai Muhammad), "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu" 
(Surah Ali 'Imran: 26).

Kalau anda berjaya mengampu" Allah, sudah pasti anda akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat. Allah berfirman: "Musa berkata kepada kaumnya, "Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa."
(Surah al-A'raf: 128)

Juga firman-Nya: "Dan demi sesungguhnya, Kami telah tulis dalam kitab-kitab yang Kami
turunkan sesudah ada tulisannya pada Lauh Mahfuz "Bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh." 
(Surah al-Anbiya': 105)

Dipetik dari facebook: Abdullah Bukhari Abdul Rahim pada 13 Jun 2012


Post a Comment

0 Comments