PRN Melaka Dijangka Sengit

 


- Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru atau lebih di kesemua 28 kerusi yang dipertandingkan sekiranya calon disenarai diterima bertanding Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon, Isnin ini.

Ia susulan pengesahan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) hari ini yang mengumumkan calon masing-masing bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, pada PRN kali ini.

Bersatu dari PN akan menentang BN yang diwakili UMNO di 13 kerusi iaitu Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Rembia, Durian Tunggal, Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Telok Mas, Rim dan Sungai Rambai.

Sementara PAS yang bergabung dengan UMNO sebagai Muafakat Nasional (MN) sebagai satu gagasan tetapi belum berdaftar pula akan bertembung di enam kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Parti-parti lain dijangka tidak akan memberikan impak besar sekiranya turut bertanding. Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), juga dijangka akan mengumumkan calon mereka bagi bertanding pada PRN berkenaan.

Pengumuman calon yang turut dilakukan secara maya bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) membendung Covid-19 menarik perhatian pelbagai pihak termasuk pemerhati politik khususnya di beberapa kerusi seperti Tanjung Bidara, Asahan, Lendu, Sungai Udang dan Pantai Kundor.

Kerusi Tanjung Bidara akan menyaksikan pertembungan sengit calon `heavyweight’ membabitkan Naib Ketua Srikandi Bersatu Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Pengelola Cabang PKR Masjid Tanah, Zainal Hassan.

Sementara kerusi Asahan membabitkan pertembungan antara Ketua Pemuda UMNO Melaka, Fairul Nizam Roslan mewakili BN dan calon PH iaitu bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron yang juga bekas ADUN Sungai Udang serta calon PN, B Dhanesh.

Di kerusi Lendu pula akan menyaksikan persaingan antara bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang mewakili BN dengan Mejar (B) Abdullah Mahadi (PN) dan Mohamad Asri Ibrahim (PH), manakala di kerusi Sungai Udang, BN mempertaruhkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dijangka akan ditentang oleh Dr Mohd Aleef Yusof (PN) dan Hasmorni Tamby (PH).

Bagi kerusi Pantai Kundor, penyandangnya Datuk Nor Azman Hasan diberi peluang kali ini bertanding di bawah tiket PH berbanding sebelum ini di bawah BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan beliau akan ditentang calon BN Tuminah Kadi @Mohd Hasim dan Mohamad Ridzwan Mustafa (PN).

Selain itu, terdapat lima kerusi yang dijangka akan menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan penyertaan parti Putra iaitu Gadek, Paya Rumput, Pengkalan Batu, Duyong dan Sungai Rambai.

Senario pencalonan PRN Melaka yang membawa kepada pertandingan tiga penjuru juga mungkin akan berlarutan dalam PRU-15 apabila tidak wujud pakatan pilihan raya khususnya antara UMNO dan Bersatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. 

Sumber-Bernama , Sinar Harian

 



Post a Comment

0 Comments