Qailulah Dan Manfaatnya


QAILULAH DAN MANFAATNYA

Qailulah adalah ibadah mudah yang menjadi  salah satu sunnah Rasulullah SAW. Qailulah bermaksud tidur sekejap di waktu tengahari. Daripada Anas RadhiAllahu anhu, sabda Rasulullah Salallahu ‘Alaihi Wasallam : “Berqailulah lah kerana sesungguhnya syaitan tidak berqailulah.” (riwayat Tabrani). Persoalannya di sini, tidur sekejap tu dalam tempoh berapa lama dan tengahari itu pada waktu mana?

Tidur sekejap sebelum waktu zohor, bunyinya mudah tapi untuk melaksanakan memang agak susah dengan jadual pekerjaan bagi yang bekerja, jadual sekolah atau jadual kuliah bagi yang masih belajar tidak memungkin sunnah ini dapat dilaksanakan dengan mudah. Bila hampir tengahari memang tidak dapat dinafikan tubuh kita terasa lemah dan mula rasa mengantuk. Mahu tidur mahu makan tengahari pula. Akhirnya kita harus bertahan seharian dalam kondisi diri yang agak lemah. Keadaan sepeti ini sangat biasa kita dengan menyebabkan kita tidak mempunyai rehat yang cukup untuk melakukan aktiviti lain apa lagi untuk bangun malam bagi melaksanakan qiamulail.

Apa itu qailulah dan bilakah waktunya.

Untuk lebih jelas dikongsikan pencerahan kepada persoalan mengenai amalan sunnah ini yang dipetik daripada laman muftiwp.gov.my. Berikut adalah antara pencerah yang dibuat:-

Qailulah merupakan perkata bahasa arab yang kata dasarnya ialah قَالَ-يَقِيلُ-قَيلا-قَيلُولَة. Kata Ibnu manzur qailulah membawa maksud tidur pada pertengahan siang. (Rujuk Lisan al-Arab, 11/572).

Maksud qailulah boleh difahami melalui hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

مالي ولِلدُّنيا إنَّما مَثَلي ومَثَلُ الدُّنيا كمثل راكبٍ قالَ في ظلِّ شجرةٍ ثم راحَ وتركها

Maksudnya :” Apa dah jadi padaku dan pada dunia. Perumpamaan aku dan dunia seperti seorang penunggang yang mana dia berehat sebentar di bawah pokok, kemudian pergi meninggalkan pokok tersebut.”

Riwayat al-Tirmizi (2377), Ibnu Majah (4109)

Qailulah merupakan salah satu perbuatan sunat yang disepakati jumhur ulama.Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas daripada Nabi SAW. Baginda bersabda :

قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ

Maksudnya :” Lakukanlah qailulah. Sesungguhnya syaitan tidak berehat.”

Riwayat Al-Tabarani (28) di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat

Secara ringkasnya, qailulah bermakna berehat sebentar walaupun tidak tidur.

Para fuqaha berbeza pandangan mengenai bilakah waktu untuk qailulah. Kami nukilkan di sini pandangan-pandangan tersebut. Antaranya :

1.  Al-Khatib Al-Syarbini menyebut bahawa waktu qailulah adalah sebelum gelincirnya matahari iaitu sebelum masuk waktu zohor. Sunat bagi orang yang melazimi tahajjud untuk tidur sebentar sebelum zohor.Ianya adalah persediaan untuk qiamullail. Qailulah sebelum masuk waktu zohor adalah seperti waktu sahur bagi orang yang berpuasa.(Rujuk Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’,1/106). Pandangan ini dikemukakan oleh beliau di dalam kitab Al-Mughni Al-Muhtaj ( Rujuk Al-Mughni Al-Muhtaj, 3/167)

اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ ، وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ

Maksudnya :” Kuatkan puasa di siang hari dengan makan sahur dan qailulah untuk bangun malam.”

Riwayat Ibnu Majah (1693)

2.  Al-Munawi menyebut qailulah ialah tidur pada waktu tengahari ketika gelincir matahari atau waktu yang hampir dengannya sama ada sebelum gelincir atau selepasnya (Rujuk Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir,7/256)

3.  Al-Bujairimi menyebut bahawa qailulah ialah berehat pada waktu sebelum gelincir matahari walaupun tidak tidur. Dan pandangan yang masyhur qailulah ialah tidur sebelum atau selepas gelincir matahari (iaitu selepas waktu zohor). (Rujuk Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Al-Khatib, 6/453)

4.  Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa qailulah ialah tidur pada waktu tengahari.

Rujuk Tahrir Alfaz al-Tanbih (1/290)

5.  Ada pandangan yang menyebut bahawa waktu qailulah adalah selepas gelincir matahari. Ini berdasarkan kenyataan Sahl. Kata beliau :

مَا كُنَّا نَقِيلُ وَلَا نَتَغَدَّى إِلَّا بَعْدَ الْجُمُعَةِ

            Maksudnya :” Tidak kami berehat dan makan kecuali selepas solat Jumaat.”

Riwayat Al-Bukhari (839) dan Muslim (2028)

Ini memberi maksud bahawa waktu qailulah adalah selepas daripada solat jumaat yang mana solat jumaat didirikan pada waktu zohor.

Kesimpulan pandangan yang dibuat adalah lebih cenderung kepada pandangan bahawa qailulah adalah berehat atau tidur sebentar sebelum gelincir matahari iaitu sebelum masuknya waktu zohor.

( Sumber: muftiwp.gov.my. /artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2998-al-kafi-1032-qailulah-dan-waktunya-2)

 

Qialulah dari aspek kesihatan

Dari aspek kesihatan,  amalan qailulah dapat memberi kesegaran ke atas kepada tubuh badan untuk melaksanakan amal ibadah lebih berkualiti sepanjang hari tersebut. Selain itu, seorang ulama bernama Ishaq bin Abdullah pula berkata qailulah ialah suatu amalan yang boleh menguatkan hati dan membantu untuk bangun malam (qiamullail) berdasarkan lisan Rasulullah SAW : “Bantulah puasa di siang hari dengan makan sahur dan bantulah qiamullail dengan qailulah.” (Ibn Majah)

Berikut kelebihan amalan qailulah daripada kacamata saintifik dan pakar kesihatan

1. Tidur sekejap pada waktu tengahari didapati amat berkesan mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan produktiviti seorang pekerja

2. Perunding Respiratori, Institut Perubatan Respiratori, Dr. Ashari Yunus mengakui tidur sekejap antara 30 minit hingga sejam dapat membantu terutama pelajar mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan. Dengan tidur sekejap minda pelajar akan kembali segar selepas penat belajar. Menurutnya lagi, tidur sekejap ini juga dapat membantu menguatkan daya ingatan dan mampu mempamerkan prestasi kerja dan pembelajaran yang lebih memberansangkan.

3. Kajian menunjukkan tidur selama 30 minit secara rutin mempunyai risiko menghidap sakit jantung 30% lebih rendah berbanding yang lain. Menurut sarjana, fasa tengahari diistilahkan sebagai fasa kelesuan dan keletihan bekerja pada fasa tersebut boleh mendorong seseorang itu mempunyai perasaan tidak tenteram, tidak fokus dan mudah marah. Justeru dengan tidur selama 30 minit mampu mengembalikan kesegaran kepada otak untuk berfikir lebih pantas dan tubuh untuk menghasilkan tenaga yang optimum sekaligus mengurangkan tekanan dan keresahan.

4. Selain  itu, tidur sekejap pada waktu siang secara berkala membantu menyegarkan otak yang memerlukan oksigen yang cukup untuk berfungsi, memperbetulkan semula fungsi jantung dan kapilari darah dalam pengaliran darah dan oksigen, memperbaiki sel-sel badan dan mengendurkan otot-otot yang digunakan secara aktif sejak pagi

5. Sudut kesihatan mental dan psikologi pula, minda dan perasaan akan lebih tenang daripada tekanan sebaik bangun daripada tidur dan bersedia melaksanakan kerja dengan lebih produktif dan berkesan hingga ke petang.

Semoga amalan sunnah ini akan dapat kita usahakan untuk melaksanakannya.

Selamat Beramal.

Post a Comment

0 Comments