Sedekah Orang yang Menanam Tanaman atau Pokok yang Berbuah dengan Niat yang Baik


Allah berfirman:
Dan (ingatlah), apa jua jenis kebaikan yang kamu lakukan, sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya.
(Surah al-Baqarah ayat 215)

Apa sahaja kebaikan yang kamu lakukan untuk dirimu,nescaya kamu memperoleh (balasan)nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan yang paling besar pahalanya. Dan mohonlah keampunan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(Surah Muzammil ayat 20)

Sesiapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.
(Surah al-Zalzalah ayat 7-8)

1. Anas r.a melaporkan bahawa Rasulullah berkata, "Apabila seseorang Muslim menanam tanaman, kemudian burung ataupun manusia memakannya, hal itu menjadi sedekah untuknya."
(HR Bukhari dan Muslim)

2. Jabir melaporkan, Rasulullah berkata, "Apabila seorang Muslim menanam tanaman selain bahagian yang dimakan sendiri, tanaman itu menjadi sedekah, termasuklah bahagian yang dicuri ataupun bahagian yang dikurangkan oleh orang lain. Sedekah itu berpanjangan untuknya sampai hari kiamat.

Menurut riwayat lain,
"Tanaman seorang Muslim yang dimakan oleh manusia ataupun haiwan menjadi sedekah untuknya."
(Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim)

3. Abu Darda menceritakan seseorang melewatinya sementara dia sedang menanam di Damsyik. Orang itu berkata, 
"Apakah yang kamu lakukan ini, padahal kamu adalah sahabat Rasulullah?" Abu Darda menjawab, “Jangan terlalu cepat menilai. Saya mendengar Rasulullah bersabda, "Sesiapa yang menanam tanaman, ia menjadi sedekah kepada manusia ataupun makhluk lain ciptaan Allah yang memakannya."
(HR Ahmad dengan sanad hasan)

Petikan buku: Amalan-amalan meraih pahala.


Post a Comment

0 Comments