Tips Rezeki Berganda


Allah menganugerahkan rezeki dalam berbagai-bagai bentuk termasuklah keluarga bahagia, kesihatan dan kemudahan dalam segala urusan. Rezeki boleh bertambah atau berkurang dalam bentuk kuantiti mahupun keberkatan. Jumlah pendapatan bukan kayu
 ukur keberkatan rezeki. Yang paling utama keberkatan rezeki tersebut.

Allah memberi peringatan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku menambah nikmat kepada kamu, tetapi jika kamu mengingkari nikmat-Ku, pasti azab Ku sangat berat." (Ibrahim 14: 7)

Berikut empat peluang untuk menggandakan rezeki yang boleh kita lakukan di tempat kerja:

1. Menjalinkan Hubungan Silaturahim

Membina hubungan baik dengan rakan sekerja, majikan dan pelanggan merupakan peluang untuk meluaskan rezeki. Nabi bersabda, "Sesiapa ingin dilapangkan rezeki dan dilambatkan ajal maka hendaklah dia menghubungi sanak- saudaranya." 
(Riwayat al-Bukhari)

Sebaliknya, yang sering berlaku ditempat kerja ialah keretakan silaturahim. Politik pejabat, gosip, mengadu domba dan sebagainya yang berlaku membawa kepada permusuhan. Sedangkan Baginda meninggalkan pesan, "Tidak masuk syurga mereka yang memutuskan silaturahim." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Memberi Untuk Menerima

Sikap murah hati dengan rakan Fitrahnya kita akan menerima kembali perkara yang kita beri. Pemberian boleh kita lakukan dalam bentuk hadiah, sedekah, dan seumpamanya. Bukankah
tangan yang menghulur itu lebih mulia daripada tangan yang menerima? Allah menjanjikan ganjaran rezeki dan pahala yang berlipat ganda: "Sesungguhnya orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipatgandakan kepada mereka, dan bagi mereka pahala yang banyak." (Al-Hadid 57: 18)

3. Menunaikan Hajat

Semua manusia berhajat akan sesuatu. Namun tidak semua hajat kita dapat dilaksanakan sendirian. Kadangkala kita perlukan bantuan orang lain. Alangkah gembira dan bahagianya andai hajat kita itu diperoleh. Marilah kita berazam untuk menjadi orang yang selalu menunaikan hajat seseorang. Tunaikanlah hajat kawan, ketua, pelanggan, pemegang saham dan seumpama. Nabi bersabda: "Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya." (Riwayat Muslim)

4. Menolong Yang Lemah

Setiap hari di tempat kerja, sudah pasti ramai orang yang memerlukan pertolongan. Hulurkanlah bantuan dengan ikhlas hanya mengharapkan keredaan Allah. Kita perlu yakin bahawa segala kebajikan akan dibalas setimpa!
oleh Allah. Pertolongan yang paling baik ialah pertolongan kepada orang yang lemah. Mungkin dengan pertolongan kita, selesai masalah besar dalam hidup mereka. Nabi menjelaskan: “Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang lemah dalam kalangan kamu." (Riwayat al-Bukhari)

Hubungan kita dengan Allah sahaja tidak cukup. Banyak kaedah yang diajarkan Nabi bahawa untuk menambah keberkatan rezeki, kita perlu membina hubungan dengan manusia.

Sumber:Solusi

Post a Comment

0 Comments