Wakaf Bekalan Akhirat


Pengertian Wakaf

lalah menahan sesuatu benda yang kekal zatnya yang boleh diambil manfaat daripadanya untuk diberikan kepada jalan kebajikan. Bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Hukum wakaf adalah sunat.

Dalilnya firman Allah SWT Dalam surah Al Haj Ayat 77, Yang bermaksud: “Dan berbuat kebajikanlah kamu moga-moga kamu mendapat kemenangan."

Sabda Rasulullah SAW Yang bermaksud: "Abu Hurairah berkata bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila mati anak Adam terputuslah amalannya
kecuali tiga perkara, wakaf atau sedekah yang berkekalan, atau ilmu yang berguna (sama ada dengan kitab atau murid- murid yang melanjutkan ilmu gurunya) atau anak yang soleh
berdoa untuk kedua ibu bapanya."

Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi."
(All-'Imran : 92)

Berpandukan keterangan di atas ternyatalah bahawa wakaf itu mempunyai ganjaran yang besar yang lebih besar dari sedekah biasa, kerana pahala wakaf tersebut akan kekal berterusan selama barang itu masih berguna kepada masyarakat dan orang ramai. Sesungguhnya institusi wakaf ini telah banyak memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat Islam disegenap masa dan peringkat. Ini telah terbukti di mana-mana negara Islam di Asia Barat dan negara-negara Islam yang lain di dunia telah mendapat manfaat yang besar daripada institusi wakaf. Oleh yang demikian, hendaklah kaum muslimin yang mampu berlumba-lumba membuat wakaf ini untuk mendampingi diri kepada Allah dan berbakti kepada masyarakat.

Rukun Wakaf

1. Syarat yang berwakaf (Wakaf)

a. Baligh.
b. Berakal.
c. Berwakaf membuat kebaikan walaupun bukan Islam.
d. Dengan kehendak sendiri dan tidak sah kerana terpaksa.

2. Sesuatu yang diwakafkan (Mauquf)

a. Hendaklah kekal zatnya yakni ketika diambil manfaatnya
zatnya tidak rosak seperti sekolah, rumah, tanah dan
sebagainya.
b. Kepunyaan yang memberi wakaf.
C. Hendaklah ia bermanfaat.
d. Hendaklah ia yang dihalalkan oleh syarak.

3. Yang menerima wakaf (Mauquf alaihi)

a. Hendaklah tidak maksiat. Wakaf adalah tidak sah jika
tujuannya untuk perkara maksiat seperti dipergunakan bagi
kepentingan gereja dan sebagainya.
b. Kalau berwakaf kepada orang yang tertentu disyaratkannya
orang yang berhak memiliki sesuatu, maka ia tidak sah
wakaf kepada anak yang masih dalam kandungan rahim
ibu, begitu juga kepada hamba sahaya.
C. Wakaf untuk kebajikan am kecuali perkara-perkara maksiat.

4. Ucapan orang yang berwakaf (sighah) lafaz wakaf seperti kata yang memberi wakaf: Saya wakafkan ladang saya ini kepada Orang-orang miskin atau saya wakafkan bangunan ini untuk kediaman pelajar-pelajar dan sebagainya.

Beberapa Syarat Wakaf

1. Selama-lamanya yakni tidak dibataskan dengan waktu maka jika seseorang itu berkata: Saya wakafkan ini kepada fakir miskin dalam masa dua tahun, maka tidak sah kerana tidak berkekalan.

2. Tunai dan tidak ada khiyar (pilihan) bersyarat, kerana wakaf bermakna pemindahan milik kepada wakaf itu, jika disyaratkan khiyar atau dia berkata: Kalau saya hadir saya wakafkan benda itu kepada surau itu. Wakaf seperti ini tidak sah kerana tidak bersifat tunai, kecuali dihubungkan dengan mati, seperti seseorang berkata: Saya wakafkan ladang koko saya ini kepada Rumah Anak-Anak Yatim, sesudah saya mati, maka lafaz ini menjadi wasiat bukan wakaf.

3. Hendaklah diterangkan kepada siapa sesuatu itu diwakafkan, jika ia berkata "Saya wakafkan tanah bendang ini" tidak sah kerana tidak diterangkan kepada siapakah atau pihak manakah diwakafkan.

Wallahu'alam

Post a Comment

0 Comments