Antara Aku Dan Allah SWT Ada Petanda


Antara Aku Dan Allah SWT Ada Petanda

Daripada Ja'far al-Khuldi bahawasanya Junaid mengatakan, “Haris al-Muhasibi hidup dalam kemiskinan. Suatu hari ia lalu di hadapan rumahku. Ketika itu aku sedang duduk di serambi depan. Aku lihat di wajahnya seperti orang yang sedang lapar sekali. Aku berkata kepadanya, “Wahai pak cik, singgahlah ke rumah kami. Kami akan menyiapkan jamuan untukmu!”
Kemudian aku bergegas pergi ke rumah bapa saudaraku untuk mengambil makanan istimewa yang tidak kami miliki kerana beliau memiliki rumah yang lebih luas daripada rumahku dan kehidupannya lebih baik daripada kami.

Setelah aku mengambil berbagai-bagai jenis makanan, aku hidangkan makanan itu kepada al-Haris al-Muhasibi. Beliau ambil makanan itu lalu beliau kunyah tetapi tidak beliau menelannya. Selepas itu, beliau pun pergi tanpa
mengucapkan apa-apa. Keesokan harinya, aku bertemu dengan beliau. Aku berkata, “Wahai pak cik, tadinya kamu telah menyenangkan hatiku (memenuhi undangan makan bersama kami), tetapi setelah itu kamu mengecewakannya (kerana makanan itu tidak kamu telan)!"

Al-Haris menjawab, "Wahai anakku, aku memang sangat memerlukan makanan, dan aku telah berusaha merasa makanan yang kamu hidangkan kepadaku itu. Tetapi antara aku dan Allah SWT ada petanda. Apabila makanan itu tidak baik, hidungku akan mencium bau busuk daripada makanan itu. Jadi, aku tidak menelannya dan kubuang kembali di halaman depan rumahmu."

Dalam riwayat lain disebutkan bahawasanya ketika al-Haris menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan yang terdapat unsur syubhat (tidak jelas kehalalannya), maka jari-jemari beliau akan mengeluarkan keringat sehingga beliau tidak akan memakannya. Junaid juga mengatakan, "Bahawasanya al-Haris sedang memerlukan wang beberapa dirham. Ketika ayahnya meninggal dunia, beliau meninggalkan harta warisan yang banyak tetapi al-Haris tidak mahu mengambil sedikit pun daripada harta itu. Bahkan beliau berkata, “Dua orang yang berbeza agama tidak boleh saling mewarisi.” Ketika itu ayahnya menganut aliran Rafidhah.

Kemudian daripada Abu Ali bin Khairan, salah seorang ahli fiqh dalam mazhab Syafii meriwayatkan, “Aku pernah melihat al-Haris di daerah Bab al-Thaq sedang menarik-narik baju ayahnya. Orang ramai berkerumun menyaksikan perkara itu.” Al-Haris berkata kepada ayahnya, “Ceraikan ibuku kerana agama kamu berbeza dengan ibuku.” Sikap al-Haris yang menganggap ayahnya telah keluar daripada agama Islam ini mungkin berdasarkan anggapan bahawa orang-orang yang menganut fahaman Qadariah adalah sesat dan kafir.

Sementara itu, beliau tidak mahu mengambil harta warisan daripada ayahnya sebagai bentuk sikap warak beliau kerana pengkafiran golongan
Qadariah merupakan perkara yang masih khilafiah dan dibahaskan. Oleh yang demikian maka larangan saling mewarisi dengan seseorang yang memiliki fahaman ini juga masih menjadi masalah khilafiah.

Ibnu Shalah berpendapat bahawa sikap al-Haris yang tidak mahu mengambil harta warisan daripada ayahnya itu menunjukkan al-Haris juga
berpendapat bahawa seseorang yang memiliki fahaman Qadariah adalah sesat dan kafir. Namun pendapat Ibnu Shalah ini tidak boleh dibenarkan kerana ada kemungkinan lain, bahawa penolakan al-Haris tersebut boleh sahaja disebabkan sikap warak (menghindari daripada syubhat) yang dimiliki beliau. Hal ini disokong oleh riwayat yang menjelaskan bahawasanya Allah SWT memberikan balasan kepada al-Haris terhadap sikapnya yang warak itu, iaitu perut beliau akan menolak setiap makanan kecuali makanan itu betul-betul halal seperti cerita di atas.

Walau bagaimanapun, pendapat ini juga dibantah kerana sikap al- Haris yang meminta ayahnya menceraikan ibunya jelas menunjukkan bahawa beliau berpendapat kafir bagi penganut fahaman Qadariah itu. Hal ini demikian kerana masalah talak tidak boleh diasaskan atas dasar warak.

Sumber/Kredit: Petikan Kisah Keramat Para Wali

Post a Comment

0 Comments