Berjemaah Ajaran Rasulullah
Dakwah, tarbiah, perniagaan dan peperangan Rasulullah bersama para sahabat
telah Berjaya dilaksanakan berkat berjemaah. Dalam dakwah, firman Allah ini telah
dijadikan panduan, mafhumnya:"Dan hendaklah ada antara kamu segolongan
umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah
dari yang mungkar; merekalah orang yang beruntung." (Surah Ali Imran 3:
104)
Manakala dalam usaha amar makruf nahi mungkar, sikap membantu sesama Islam sangat dituntut oleh Allah. Rasulullah dan para sahabatnya telah mendapat manfaat daripada seruan Allah ini, mafhumnya: "Hendaklah kamu tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan, dan jangan kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan kejahatan." (Surah al-Ma'idah 5: 2)
Hasilnya, monopoli ekonomi Yahudi di kota Madinah ketika itu berjaya ditembusi. Beberapa orang tokoh usahawan dalam kalangan orang Islam berjaya menjadi orang yang terkaya ketika itu. Lebih-lebih lagi dalam peperangan, kewajipan berjemaah ini ditegaskan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (Surah al- Saff 61: 4)
Dalam perang Badar, Allah telah membuktikan betapa golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak sekiranya hati, fikiran, perasaan dan fizikal diikat dengan satu keyakinan. Begitu juga dalam perang Khandak. Bilangan jemaah tentera Islam yang lebih kecil dapat mengalahkan tentera Ahzab, iaitu puak-puak kafir yang bersekutu yang lebih ramai, dengan izin Allah. Namun, apabila sebahagian para sahabat meninggalkan jemaah untuk merebut harta peninggalan musuh dalam perang Uhud, maka tentera Islam telah tewas! Bukan dalam perjuangan sahaja, malah dalam hidup seharian juga Rasulullah sentiasa berjemaah. Maksudnya, gaya hidup Rasulullah telah dicorakkan dan diwarnai oleh kehidupan berjemaah. Ada tiga perlakuan yang tidak pernah dibuat oleh Rasulullah secara bersendirian, melainkanmesti secara berjemaah:
1. Solat.
2. Makan.
3. Bermusafir.
Solat Berjemaah
Rasulullah sentiasa solat fardu secara ber- jemaah di masjid atau di mana-mana jua apabila bermusafir. Solat berjemaah bukan sahaja di- janjikan pahala yang berganda, malah ia kunci perpaduan ummah. Umat yang menjaga solat berjemaah, tidak akan diganggu-gugat oleh bibit-bibit perpecahan yang ditiup oleh syaitan. Sebaliknya orang yang sengaja meninggalkan solat berjemaah sebenarnya sedang menyenaraikan dirinya dalam kalangan orang munafik. Rasulullah bersabda, maksudnya: "Sungguh zalim, kufur dan nifak bagi mereka yang mendengar penyeru Allah yakni muazin yang menyeru kepada solat, tetapi mereka tidak pergi menyertai solat berjemaah." (Riwayat Ahmad)
Oleh sebab itu, Rasulullah sendiri sangat disiplin menjaga solat jemaah sehingga ke saat- saat akhir Baginda. Melihatkan para sahabatnya berjemaah menunaikan solat Subuh, Baginda begitu senang hati hingga terukir senyuman di wajah. Itulah senyuman Baginda yang terakhir sebagai tanda perpisahan Nabi.
Solat berjemaah merupakan tarbiah dan latihan kepimpinan secara langsung. Imam dan makmum terikat dalam satu bacaan, tindakan dan rasa yang sama yakni untuk membesarkan Allah. Ketaatan para makmum sangat penting. Mereka tidak boleh mendahului atau terlambat mengikut imam dalam sela-sela waktu yang telah ditetapkan.
Pada ketika tertentu, imam boleh ditegur jika melakukan kesalahan. Namun teguran hendaklah dilakukan penuh tertib dan diniatkan semata-mata kerana Allah menerusi kalimah "subhanallah". Apabila ditegur, imam mesti menerima. Jika tidak, makmum boleh mufaraqah sekiranya kesalahan yang dibuat membatalkan solat. Oleh sebab itulah Rasulullah telah membina masjid di Madinah sebagai langkah paling utama dan pertama untuk mengukuhkan jemaah islamiah kepimpinannya. Di dalam masjid itulah didirikan solat jemaah untuk membentuk kesatuan ummah sebagai tapak untuk menegakkan ajaran Islam yang syumul. Solat berjemaah adalah kekuatan jemaah. Ke- kuatan jemaah itulah wadah untuk menegakkan sistem atau cara hidup Islam yang sempurna dan menyeluruh. Dalam keluarga, mahupun dalam sebuah masyarakat atau negara, petunjuk utama kekuatan hablumminallah terletak pada solat berjemaah. Jika solat berjemaah terpinggir dalam sebuah keluarga, itu petanda keluarga itu lemah hubungannya dengan Allah. Begitu juga dalam sebuah masyarakat dan negara. Maka jika begitulah keadaannya, maka rumah tangga, masyarakat atau negara itu tidak akan dapat lagi bantuan Allah dalam usaha untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.
Makan Berjemaah
Wahsyi bin Harb menceritakan bahawa pada suatu hari, para sahabat mengadu
kepada Nabi: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan tetapi tidak kenyang-kenyang." Lalu Baginda menjawab,
maksudnya: "Boleh jadi kamu makan
secara tidak berjemaah?" "Ya,
benar!" Nabi bersabda: "Kamu
hendaklah makan bersama dan sebutlah
nama Allah, maka makanan kamu akan diberkati."
(Riwayat Abu Daud) Jadi, antara tanda makanan itu diberkati adalah kita rasa mencukupi walaupun sedikit. Rasulullah sendiri pernah bersabda, maksudnya:
"Makanan dua orang cukup untuk tiga
orang dan makanan tiga orang cukup untuk
empat orang." (Riwayat al-Bukhari) Dalam berjemaah mesti ada ketua. Begitu
juga ketika makan berjemaah; mesti ada ketua. Perhatikan dalam kalangan orang
yang makan, orang yang lebih berusia,
lebih tinggi keilmuannya atau lebih dihormati
dari segi kewibawaan, maka dia boleh dianggap ketua. Contohnya, apabila makan sekeluarga,
maka selalunya ayah ialah pemimpin dalam jemaah itu.
Musafir Berjemaah
Rasulullah sentiasa bermusafir secara berjemaah. Itu bukan sahaja lebih berkat, tetapi lebih selamat. Rasulullah bersabda yangbermaksud: "Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.” (Riwayat al-Bukhari)
Sesungguhnya musafir akan memperkukuhkan tali persaudaraan dan kasih sayang. Jabir bin Abdullah menceritakan bahawa Rasulullah biasanya akan berjalan di belakang ketika bermusafir. Baginda akan memastikan binatang tunggangan yang lemah akan tetap bergerak. Jika ada yang berjalan kaki, Baginda akan memboncengkannya. Baginda sentiasa berdoa untuk semua. (Riwayat Abu Daud) Ibn Mas'ud juga menceritakan pengalaman beliau bermusafir bersama Rasulullah semasa perang Badar. Keadaan mereka ketika itu begitu terhimpit sekali. Bayangkan seekor unta dikongsi oleh tiga orang. Lalu, mereka menunggang secara bergilir-gilir. Ketika itu Abu Lubabah dan Ali berkongsi unta dengan Rasulullah Apabila tiba giliran Rasulullah s.a.w. untuk turun dan berjalan kaki, Abu Lubabah dan Ali segera berkata: "Kami akan berjalan bagi pihak tuan." Mereka tidak mahu Rasulullah berjalan kaki. Namun Rasulullah menjawab: "Kamu berdua tidaklah lebih laju berjalan daripada aku. Dan aku juga berhajat kepada pahala Allah lebih daripada kamu." (Riwayat Ahmad) Lihatlah betapa indahnya sikap tolong-menolong dalam tempoh permusafiran Rasulullah bersama sama para sahabat Baginda.
Sumber/Kredit: Solusi
0 Comments