Kembara Dari Negeri Nabi Yusuf ke Tasik Qarun


Kembara Dari Negeri Nabi Yusuf ke Tasik Qarun

Kami menyewa sebuah kereta dan menggunakan khidmat seorang pemandu pelancong pelajar Malaysia di Mesir  untuk kunjungan ke wilayah al-Fayyum, salah sebuah wilayah tertua di Mesir yang terletak 90 kilometer atau dua jam perjalanan ke selatan Kaherah. 

Al-Fayyum yang bermaksud 'kota seribu hari' merupakan salah satu daripada dua  negeri yang dibangunkan atas arahan  wahyu Allah iaitu melalui Nabi Yusuf  untuk menyelamatkan Mesir daripada  dilanda kemarau selama tujuh tahun.  Sebuah negeri lagi ialah Makkah yang dibangunkan melalui wahyu yang  diturunkan kepada Nabi Ibrahim.  Menurut sejarah, semasa 30 tahun  pemerintahan Nabi Yusuf, Mesir  diserang kemarau selama tujuh tahun. Raja telah memerintahkan Nabi Yusuf  untuk menangani bencana ini. Lantas  Allah memerintah Nabi Yusuf pergi ke  sebuah daerah al-Fayyum yang disebut  “Jaubah' yang bermaksud 'lubang tempat  pembuangan air kumbahan.  Di situ Nabi Yusuf mengukur  ketinggian daerah tersebut berbanding  paras air sungai Nil lalu menggali tiga  buah terusan - di sebelah barat, timur dan  hulu. Terusan ini mengalirkan air yang  banyak dari sungai Nil ke daerah Jaubah. Selain itu Allah memancarkan mata air daripada perut bumi. Fenomena ini menjadikan Jaubah subur dan hijau. Kemudiannya Nabi Yusuf membangunkan 360 buah kampung di daerah Jaubah sempena 365 hari dalam setahun yang membawa maksud bahawa setiap kampung di kota al-Fayyum ini dapat mencukupkan keperluan makanan untuk seluruh penduduk Mesir ketika itu. Justeru Mesir selamat daripada kebuluran selama tujuh tahun. Bahkan rahmat ini juga menyelamatkan penduduk negara tetangga seperti Syria, Palestin, Makkah dan Madinah.

Selepas 30 tahun memerintah,  Firaun memecat Nabi Yusuf dengan  alasan nenek moyangnya berwasiat agar  jangan melantik seorang menteri lebih  daripada 30 tahun kerana dikhuatiri akan  menggulingkan institusi raja.  Nabi Yusuf memohon sebidang tanah  untukan baginda sekeluarga membina  kehidupan baharu. Firaun mengizinkan  baginda memilih mana-mana tanah yang  baginda suka lalu Allah mewahyukan agar Nabi Yusuf memilih al-Fayyum.  Kami memasuki kampung pedalaman Badwi di  al-Fayyum. Bumi al-Fayyum subur dengan  pelbagai jenis tanam-tanaman dan sayur-  sayuran. Kami berhenti dan turun dari  kereta untuk memetik jagung dan buah  kurma yang ranum di atas pokok. Orang  Arab Badwi yang merupakan kaum petani  keluar bertemu kami. Kelihatan kaum ibu  mendukung anak-anak kecil.  Mereka amat mesra walaupun ada  sebahagiannya terutama golongan tua yang ragu-ragu untuk menghampiri kami. Ada  yang merenung kami dari hujung rambut  hingga ke hujung kaki dengan kehairanan seolah-olah kami makhluk dari planet lain. Mereka juga cuba mengelak jika  kami ingin bergambar dengan mereka,  "Haram... haram," teriak mereka. Orang Arab Badwi yang berniaga di pasar-pasar juga sering mengelak  untuk bergambar. Inilah akibat polisi  pemerintah yang tidak menggalakkan penduduknya berinteraksi dengan orang  luar dan mengehadkan penggunakan alat  teknologi dan komunikasi. Seharusnya  pemerintah mendidik rakyatnya tentang hukum penggunaan kamera kerana  budaya asal umat Islam tidak dibenarkan  bergambar khususnya di negara Arab  sudah tidak relevan lagi pada masa kini.  Memuliakan Tetamu  Di tengah-tengah kota al-Fayyum pemandu  kami berhenti untuk bertanya arah kepada dua orang pemuda di dalam sebuah kereta  mewah. Mereka memakai gamis putih yang  bersih dan berjambang kemas. "Ikut saya," kata mereka.  Setelah 10 minit mengekori, mereka  berhenti di hadapan sebuah restoran  minuman air buah-buahan. "Tetapi kami  bukan mahu ke sini," protes pemandu kami.  "Tak apa. Saya hendak menjamu  tetamu saya ini minum," katanya merujuk  kepada rombongan kami. Bukan sahaja  kami, malah semua orang yang singgah minum di restoran itu dibelanja oleh kedua-dua orang pemuda Arab itu.  Selepas meneguk air buah-buahan  yang segar dan lazat mereka menyambung  khidmat menunjukkan kami arah yang  hendak dituju.

Akhirnya kami sampai ke mercu tanda kota al-Fayyum iaitu beberapa buah kincir  air yang telah wujud dan beroperasi  sejak 4,000 tahun yang lampau ketika  pemerintahan Firaun lagi. Kincir air ini dikenali sebagai al-sawaqi. Hanya kota  inilah satu-satunya yang mempunyai  kincir air di Mesir.  Struktur kincir air yang besar dan kuat diperbuat daripada kayu tempatan  ini merupakan simbol kepada kerajaan      al-Fayyum bagi mengairi kawasan pertanian. Menurut sejarah, idea pertama  membina kincir ini datang daripada Nabi  Yusuf ketika diperintah oleh Allah untuk  menangani kemarau selama tujuh tahun.  Terdapat kira-kira 200 buah kincir air  sekitar al-Fayyum yang masih berfungsi.  Namun kincir air di tengah-tengah  kota al-Fayyum ini agak ganjil kerana  mengeluarkan bunyi. Menurut pemandu  kami bunyi kincir air tersebut seperti orang yang sedang merintih kerana menghadapi  kesulitan serta memohon bantuan itu merujuk kepada rintihan penduduk Mesir  menghadapi kemarau tujuh tahun pada zaman Nabi Yusuf. Sebahagian penduduk  al-Fayyum menisbahkan bunyi kincir air  itu kepada suara Qarun yang setiap saat  menyesali perbuatannya.

Dari Sava'a Banat kami ke kampung Abaza. Dalam perjalanan kami menyusuri  jalan raya padang pasir di pinggir sebuah  tasik air masin yang dikenali sebagai Tasik  Qarun atau 'Bahirah Qarun!  Menurut sejarah, Qarun ialah seorang  miskin yang merupakan anak kepada  bapa saudara (sepupu) Nabi Musa. Kerana  kemiskinan dia bermohon kepada Nabi  Musa supaya didoakan menjadi kaya.  Berkat doa Nabi Musa akhirnya Qarun  menjadi kaya raya hingga mampu untuk  membuat emas.  Anak kunci gedung hartanya sahaja  diceritakan dalam al-Quran perlu dipikul  oleh beberapa orang yang gagah. Malangnya  apabila diminta membayar zakat, Qarun  enggan dan berkata, "Harta aku, aku yang  cari. Orang lain tidak berhak terhadapnya."  Dengan kemurkaan Allah berlakulah  gempa bumi dan seluruh harta kekayaan  Qarun ditenggelamkan ke dalam bumi.  Menurut ceritanya di dasar tasik inilah  harta Qarun tertanam.  Sebaik terbentang di depan mata, saya  amat kagum melihat tasik berwarna biru  pekat bak laut luas terbentang dikelilingi  padang pasir yang sangat indah. Dengan  angin sepoi-sepoi bahasa saya tidak sabar  untuk turun dan mengharung airnya.  Apabila sampai di suatu lokasi, kami  pun berhenti dan saya melompat turun ke gigi air. Alangkah terperanjatnya saya  apabila mendapati air yang tadinya biru  sebenarnya berwarna coklat dan berbau  busuk. Saya tidak jadi mencecahkan kaki.  Saya perhatikan di dalam air. Tidak ada ikan atau sebarang hidupan laut yang berenang,  Hanya beberapa buah perahu nelayan  yang kecil dan usang tersadai di gigi air. Beberapa orang anak gadis Arab berkejaran datang mendapatkan kami sambil menjual hiasan yang diperbuat daripada kerang dan siput. Oh! Kerang dan siputnya kecil dan halus. Jauh berbeza dengan kerang yang terdapat di Alexanderia atau di Port Hedland, Australia yang saiznya besar Hati kecil saya merumuskan, "Oh, harta dunia seperti peninggalan Qarun yang sangat indah dan menggoda dipandang dari jauh sebenarnya hodoh dan busuk apabila dihampiri. Apakah ini metafora Allah untuk hambanya yang mahu berfikir dan meneliti?"

Kira-kira dua kilometer dari tasik ini terdapat bekas peninggalan istana Qarun yang dikenal sebagai qashru Qarun. Hanya dua tingkat yang bersisa daripada bangunan asal sebanyak enam tingkat. Bahagian dalam istana terdapat kamar yang dibina dengan seni ukir yang sangat luar biasa. Jendelanya diperbuat daripada batu besar yang dipahat indah dan cantik untuk memberi laluan sinar cahaya matahari masuk. Di bahagian paling atas, terlekat dua keping mural di tembok. Mural pertama ialah seorang manusia berkepala buaya yang merupakan jelmaan Dewa Sobek; penguasa al-Fayyum. Mural kedua ialah manusia biasa, mungkin Qarun. Menurut sumber yang dipercayai masih banyak bahagian istana ini yang belum digali. Dari pesisir tasik Qarun kami memecah kesejukan dan kegelapan malam merentasi padang pasir yang tandus, bertemankan kerdipan bintang di langit kembali ke Kaherah kerana esoknya kami akan terbang ke Malaysia.

Sumber/Kredit : haji muhammad.zakaria.blogspot.com



Post a Comment

0 Comments