Kaabah. Apa ada di dalamnya?


Kaabah. Apa ada di dalamnya?

Musim umrah tiba lagi. Umat Islam seolah- olah menantikan "pintu masuk” Makkah dibuka untuk meluru masuk  menziarahinya. Setiap tahun manusia yang berkemampuan dari sudut kewangan akan berpusu-pusu mendaftarkan diri untuk menjadi tetamu Allah. Tidak kira sama ada cuti sekolah atau hari-hari biasa, apabila visa umrah selepas musim haji dibuka, ramai yang akan mendaftar bagi  mengerjakan umrah.

Fenomena ini menggambarkan  makbulnya sebuah doa tulus seorang Nabi utusan Allah. Banyak pertanyaan mengenai apa apa yang ada dalam kaabah.  "Ustaz, apa agaknya yang ada di dalam Kaabah?"  "Ustaz! Saya dengar ada orang kata sesiapa yang masuk ke dalam Kaabah tak boleh mendongak ke atas.  Takut-takut jadi gila atau hilang akal. Benarkah?"  Soalan ini boleh membuatkan para ustaz "hilang akal" untuk menjawabnya. Akhirnya jawapan yang diberi mungkin  bersifat sarkastik: "Anda cuba masuk dulu, kemudian dongak ke atas. Lepas  balik, beritahu perkara yang terjadi. Gila atau tak?" Ujar saya berseloroh lantas  membungkam si penyoal. Mungkin sedar soalan itu tiada unsur kecerdikan.

Alangkah baiknya jika kita memerhati dan menyorot kembali sejarah Kaabah  serta tahu tentang apa-apa yang pernah diletakkan di dalamnya.  Jika segala kemewahan itu masih wujud pada hari ini, mungkin tiada  seorang jemaah pun yang akan meninggalkan Kaabah. Pasti semuanya akan termenung dan mengharap sesuatu di hadapan Kaabah.  Haramain kali ini akan menyingkap sedikit sebanyak maklumat berkaitan  hiasan dalaman Kaabah.

Apa Ada di dalam Kaabah?

Soalan ini pernah ditanya kepada para masyaikh. Kebiasaannya mereka  akan menjawab dengan jawapan yang mudah dan ringkas: "Tiada apa-apa di  dalam Kaabah kecuali tiga batang tiang yang menongkat bumbung Kaabah." Fatwa bernombor 9016 oleh Markaz Fatwa bagi laman Islamweb.net  menjelaskan bahawa sebahagian individu yang boleh dipercayai (thiqah) telah  diberi peluang masuk ke dalam Kaabah. Menurut mereka, tiada apa-apa yang  tinggal di dalamnya kecuali beberapa buah kerusi dan sebuah meja. Bahagian  di dalam Kaabah dipenuhi dengan batu marmar.  Sejarah tiang Kaabah bermula sewaktu orang Quraisy membina Kaabah. Mereka telah menutupnya dengan atap  dan disokong oleh enam batang tiang sebanyak dua baris. Setiap baris mempunyai tiga batang tiang. Kemudian, ketika pembinaan semula Kaabah oleh Ibn Zubair, beliau telah menjadikan hanya tiga batang tiang  yang menongkat Kaabah dan atapnya.Jarak antara setiap tiang adalah 2.35 meter. Di sebelah kanan pintu Kaabah disediakan tangga untuk naik ke bahagian atap Kaabah. (Dr. Abdul Basit Abdul Rahman, Makkah Mukarramah:  Kelebihan dan Sejarah, hlm. 78)

Kisah Asaf dan Nailah

Nama ini mungkin sedap didengar, namun tersimpan sejarah buruk di  sebaliknya. Setelah berjaya menewaskan  kabilah 'Amaliq, pemerintahan kabilah  Jurhum yang diketuai al-Harith bin  Mudad berlangsung selama 300 tahun.  Setelah berlaku banjir yang meruntuhkan sebahagian binaan Kaabah,  mereka telah membinanya semula berdasarkan binaan Nabi Ibrahim. Mereka telah meninggikan sedikit binaannya dan menjadikan daun pintunya  terbahagi kepada dua bahagian dan  dikunci.

Rentetan peristiwa itu, kabilah ini  telah mengabaikan kesucian Kaabah  sehingga terjadi maksiat yang belum  pernah berlaku sebelumnya. Inilah cerita  Asaf dan Nailah. Mereka telah berzina di dalam Kaabah. Allah s.w.t. menurunkan pembalasan  dengan menukarkan mereka berdua  menjadi batu sebagai pengajaran kepada  umat manusia. Kedua-duanya  telah dikeluarkan dari  Kaabah. Asaf diletakkan di atas bukit Safa dan Nailah  di atas bukit Marwah. 

Apakah Hadiahmu?

Keghairahan para pemerintah menyaluti Kaabah  dengan harta bukan persoalan  utama yang perlu dilihat secara  tersurat. Soalan yang lebih mendalam  harus kita tanamkan dalam  hati: "Apakah hadiah kita kepada  Kaabah?"  Keadaannya mungkin tidak  sama. Namun, rasa cinta, kasih  dan keinginan untuk mendaulatkan  syiar Allah itulah yang wajar kita  persembahkan di sisi Kaabah yang kita  cinta.  Salurkan cinta dengan  memperbanyak tawaf dan menyemai  kasih sayang dengan sentiasa melazimkan zikrullah dan mengungkap talbiah. Hiasilah kemeriahan di Kaabah dengan doa dan  taubat yang indah. Itulah hadiah paling  istimewa buat Kaabah.

 
Sumber/Kredit: Solusi, tulisan Ust.Ahmad Husni Abdul Rahman.

Post a Comment

0 Comments