Pandu Diri Ke Jalan Ilahi

 


Pandu Diri Ke Jalan Ilahi

Berikut adalah petikan khutbah  bersempena dengan sambutan hari Jabatan Pengangkutan Jalan kali ke-75 pada 8 April 2021. Selain memandu secara berhati-hati dijalanraya, yang lebih penting adalah pemanduan kita untuk menuju ke alam yang kekal abadi , ke syurga Allah.

Setiap insan menginginkan kehidupan yang indah,selesa, aman dan damai walaupun di mana berada. Dengan adanya nikmat ini, dunia akan menjadi aman dan damai. Namun jangan kita lupa bahawa kehidupan di dunia ini ada kaitan dengan kehidupan kita di alam akhirat. Apa yang perlu kita lakukan ialah carilah redha Allah dengan menjaga hubungan yang baik sesama manusia demi mengecapi kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

Prinsip Maqasid Syariah dalam aspek memelihara nyawa amat diambil berat dalam Islam. Maka kita sebagai hamba Allah di dunia ini wajib menjaga dan memelihara kesucian nyawa walau di mana kita berada lebih-lebih lagi semasa di jalan raya. Selalu kita dengar tentang berita dan kisah-kisah yang menyayat hati hasil dari perbuatan manusia yang menyebabkan orang lain cedera bahkan sehingga  menyebabkan kehilangan nyawa akibat daripada mengikut hawa nafsu dan kemarahan yang melampau.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-'Imran ayat 134 yang maksudnya: “iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang  dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang  memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik."

Ayat di atas menjelaskan bahawa menahan marah dan memaafkan kesalahan  orang lain, serta melakukan kebaikan amat disukai oleh Allah SWT. Bertolak ansurlah dalam perkara-perkara yang boleh mencetuskan perbalahan sesama kita. Mengalah tidak bermaksud lemah terutama dalam menahan marah dan memaafkan kesalahan orang lain. Tanamkan dalam diri kita perasan bertimbang rasa dengan  orang lain terutama dalam perkara-perkara yang tidak melibatkan akidah atau maruah Islam dipandang rendah.

Ingatlah akibat daripada kedua punca ini iaitu nafsu dan kemarahan yang melampau akan menyebabkan manusia hilang pertimbangan dalam memikirkan  mana yang baik dan mana yang buruk. Allah SWT mengingatkan kepada kita semua bahawa tawaran Syurga telah dijanjikan kepada mereka yang dapat  menahan marah dan tidak mengikut hawa nafsu dari bersifat marah.

 Firman Allah SWT dalam surah Al-Insan ayat 12 yang maksudnya: “Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan  meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan  (persalinan dari) sutera.”

 Al-Quran telah merakamkan tujuh nama Syurga yang penuh kenikmatan disediakan  kepada sesiapa saja yang mematuhi perintah Allah SWT. Maka binalah kehidupan  di dunia ini dengan sebaik mungkin untuk meraih kediaman syurga yang kekal abadi. Tunaikan solat lima waktu dengan rukun yang sempurna, barisan sof yang lurus yang melambangkan disiplin dalam ibadah agar dapat memandu diri kita ke jalan yang diredhai, kerana ibadat solat 5 waktu adalah amalan yang pertama akan dihitung oleh Allah SWT di akhirat nanti. Adapun perkara yang kedua yang akan  dihitung oleh Allah SWT ialah berkaitan dengan darah. Maka berhati-hati dalam dua  perkara ini agar hitungan kita di Padang Mahsyar menjadi lebih mudah dan cepat untuk menuju ke Syurga Allah yang kekal abadi.

Bersempena dengan sambutan hari Jabatan Pengangkutan Jalan kali ke-75 pada 8 April 2021, mimbar telah mengingatkan para Jemaah agar membantu pihak JPJ  selaku Agensi yang menguatkuasa dan mentadbir undang-undang jalan raya  Malaysia dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dengan menghayati saranan berikut:

  

  1. Pertama : Marilah kita bersama menghargai nikmat kesihatan, keselamatan dan  nyawa yang  telah dianugerahkan Allah SWT dengan mencegah diri dari  melakukan perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan diri sendiri  mahupun memudaratkan orang lain.
  2. Kedua: Beradab dan bersopanlah ketika berada di jalan raya dengan mematuhi  undang undang dan peraturan- peraturan jalan raya.
  3. Ketiga: Janganlah mementingkan diri sendiri ketika menggunakan jalan raya. Hormati serta sentiasa bertolak ansur terhadap pengguna jalan raya yang lain.
  4. Keempat: Pengguna jalan raya dinasihatkan agar sentiasa memohon perlindungan pada Allah SW ketika memulakan perjalanan.

Sewajarnya kita menjaga hubungan dengan Allah dengan mematuhi perintahNya, dan pada masa yang sama peraturan dunia jangan dilupakan, kerana kedua iniadalah saling berkait rapat antara satu sama lain demi kesejahteran dunia sejagat.Firman Allah SWT dalam surah At-Taubah ayat 51, yang maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada  Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal”

Semoga bermanfaat untuk semua.

Wallahu’alam.

Sumber/Kredit: Himpunan khutbah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Post a Comment

0 Comments