Sains Dan Islam


Sains Dan Islam

Sains adalah satu cabang ilmu yang dipelopori oleh ummat Islam terutamanya ketika zaman kegemilangan Kerajaan Islam Abbasiyyah yang berpusat di Kota Baghdad dengan lahirnya ramai saintis muslim dan mukmin seperti Ibnu Hayyan, Al Kindi, Az Zahrawi, Ibnu Sina dan lain-lain lagi.

Ketika dunia barat masih dalam kegelapan, ummat Islam telah menerokai bidang sains perubatan, sains kimia, sains kejuruteraan dan sains astronomi sehingga Kota Baghdad muncul sebagai kota ilmu pengetahuan yang dikunjungi penuntut ilmu dari pelbagai pelusuk timur dan barat.

Akibat dari jatuhnya Khilafah Islamiyyah satu persatu,
penjajahan, perpecahan dan kelemahan ummat serta menipisnya pegangan agama, akhirnya menjadikan kita semakin hari semakin ketinggalan kepada dunia barat, termasuklah dalam bidang sains sehingga jadilah sains antara khazanah ilmu bernilai yang terlucut dari genggaman tangan ummat Islam.

Hasil kajian-kajian sains yang dikemukakan bukanlah bermaksud, untuk sesuatu perkara itu dipercayai dan diyakini, ianya mestilah boleh dibuktikan dengan fakta sains.

Al Quran yang ada di hadapan kita, pada hakikatnya telah membentangkan fakta-fakta menakjubkan yang tidak boleh disangka oleh sesiapa. Amat besar kesilapan mereka yang mengatakan, kita tidak boleh menerima Islam kerana ianya bertentangan dengan sains moden. Sains banyak membantu tetapi sains tidak dapat mengantikan agama. Sains dan teknologi sebenarnya telah banyak memberi
maklumat kepada kita tentang alam nyata, menyediakan kesenangan dan keselesaan yang tidak pernah ditemui sebelum ini, meningkatkan
kecekapan dan menemukan ubat-ubat bagi pelbagai jenis penyakit yang biasanya boleh membawa maut.

Namun sains tidak pernah dan tidak akan pernah dapat mengajar kita tentang makna serta hakikat kehidupan dan kematian. Sains memberitahu kita bagaimana tetapi tidak pernah dapat menjawab persoalan 'kenapa?

Sains boleh menerangkan bagaimana proses dan peringkat kejadian manusia tetapi sains tidak dapat menjawab persoalan kenapa manusia dijadikan. Sains tidak dapat memberitahu kita apa yang betul dan apa yang salah, baik dan buruk serta dosa dan pahala, kenapakah kita dijadikan dan ke manakah kita akan dikembalikan.

Hanya Islam yang dapat mengajar kita semua ini. Bermakna sains dan Islam tidak boleh dipisahkan. Andai dipisahkan, manusia yang bertuhankan sains lalu menolak agama akan menjadi sesat.

Sains dapat menerangkan kepada manusia bagaimana solat dapat menyihatkan badan tetapi sains tidak dapat menjawab kenapa manusia solat. Allah yang menjadikan manusia, Allah yang mewajibkan solat, maka hanya Allah yang dapat menjawab persoalan kenapa DIA berbuat demikian.

Sumber/kredit: petikan buku  Solat & Sains

Post a Comment

0 Comments