BERSANGKA BAIK KEPADA ALLAH DAN BERZIKIR

BERSANGKA BAIK KEPADA ALLAH DAN BERZIKIR

 Marilah kita 'kembali kepada Allah dengan berzikir dan bersangka baik kepada-Nya. Rasulullah S.a.w. bersabda: "Allah berfirman: 'Aku menurut sangkaan hamba-Ku kepada-Ku. Aku bersamanya apabila dia mengingat-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku mengingatinya dalam diriKu. Jika dia mengingati-Ku dalam suatu kelompok, Aku mengingatinya dalam kelompok yang lebih baik daripada kelompok mereka. Jika dia mendekati Ku satu jengkal, maka Aku mendekatinya satu hasta. Jika dia mendekati-Ku satu hasta, maka Aku mendekatinya satu lengan. Jika dia datang kepadaKu dengan berjalan, maka Aku datang kepadanya dengan berlari." (Riwayat al-Bukhari)

 Mari kita bersangka baik pada setiap takdir dan ujian-Nya. Tanamkan dalam hati bahawa Allah di sebalik segala-galanya. Kepahitan, kepedihan dan kesakitan yang menimpa diri kita tetap ada kebaikannya. Sudah seringkali apa yang kita rasa pahit sebelumnya, rupa-rupanya ada kemanisan dihujungnya. Apa yang kita sangka baik itu hakikatnya memang baik, tetapi kadangkala mata hati masih terlindung seketika untuk melihat kebaikan itu! Hamba yang bersangka baik, insya-Allah akan bersama Allah. Hamba yang bersangka baik itu sentiasa memujuk hatinya dengan menghayati firman-Nya ini: 

"Mungkin kamu membenci sesuatu, padahal itu amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah 2:216)

Selepas bersangka baik, hadis Qudsi di atas juga mengingatkan tentang zikrullah iaitu mengingati Allah. Mengingati Allah akan menyebabkan hati menjadi tenang hasil dekatnya hati itu dengan Allah. Datanglah sejuta dugaan dan kesusahan sekalipun, tetapi apabila hati sibuk dengan zikrullah semuanya dapat dihadapi dengan tenang.

Solat, membaca al-Quran dan sebagainya termasuk zikrullah. Pastinya kita masih ingat kalimah, "Janganlah kamu takut dan janganlah kamu bersedih hati. Sesungguhnya Allah ada bersama kita." (Al-Tawbah 9:40)

Ya, itulah kalimah yang diucapkan oleh Rasulullah untuk menenangkan sahabat Baginda Sayidina Abu Bakar semasa di gua Thur dalam peristiwa hijrah. Zikrullah ialah cara untuk mendekati Allah yang memang telah sedia hampir dengan kita. Dekat atau jauhnya diri kita dengan Allah bukan diukur pada jarak jasad yang melaluinya tetapi jarak hati. Apabila hati berzikir, diri hampir dengan Allah. Apabila alpa, diri akan jauh daripada-Nya.

BERTAWAKAL.

Sebagai hamba Allah, kita terlalu daif jika dibandingkan dengan-Nya. Kita tidak tahu apa yang terbaik untuk diri kita sendiri berbanding Allah. Allah Maha Tahu. Kudrat kita juga sangat terhad sedangkan kudrat Allah tiada batas.  Atas dasar itu sebagai hamba-Nya, kita perlu  yakin bahawa skrip yang telah disediakan Allah untuk kita adalah yang terbaik. Inilah intipati tawakal; pasrah dan menyerah seratus peratus kepada Allah sebagai 'wakil' dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan.  Yakinlah 'wakil kita itu Maha Kuat, Maha Kaya, Maha Berkuasa dan Maha segala-galanya. Justeru mana mungkin kita tidak tenang menghadapi apa- apa sahaja takdir-Nya. Tawakal ialah buah pohon iman yang kuat. 

Firman Allah: "Sesungguhnya orang yang beriman ialah mereka yang apabila

disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka kerananya. Hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakal." (Al-Anfal 8:2)

Lihatlah betapa tenangnya Nabi Ibrahim sekalipun dicampakkan ke dalam api. Itulah kesan sifat tawakal yang tinggi. Ketika Jibrail bertanya  kepada baginda, "Apakah engkau memerlukan  sesuatu pertolongan dariku?"  Nabi Ibrahim menjawab, "Aku tidak  memerlukan apa-apa pertolongan darimu. Aku hanya memerlukan pertolongan Allah."

Baginda kemudian menyebut Hasbunallah wa ni'mal wakil - cukuplah Allah buat kami bahkan Dia sebaik-baik wakil- (Riwayat al-Bukhari)

Lalu dengan izin Allah, api menjadi dingin dan selamatlah Nabi Allah itu.  Orang yang bertawakal hakikatnya  bersama Allah. Dan sesiapa yang bersama  Allah akan mendapat ketenangan. Sebaliknya tanpa tawakal, hidup akan diselubungi  kegelisahan. Syaitan akan mengacau hati  dan hati akan kehilangan petunjuk llahi. Rasulullah bersabda: "Kalau engkau  tertimpa musibah, janganlah engkau mengatakan: 'Kalau tadi aku lakukan begini,  tentu jadinya akan begini dan begini' tetapi katakanlah: 'Sudah takdir Allah, Allah melakukan apa saja yang Dia kehendaki.  Kerana perkataan 'kalau' itu membuka amalan syaitan." (Riwayat Muslim)

Allah berfirman: "Tidak ada sesuatu musibah yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. Sesiapa yang beriman  kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya." (Al-Taghabun 64: 11)

BERDOA DAN SOLAT.

Doa ialah talian hayat seorang hamba kepada Tuhan. Apabila berdoa, maka ketika itulah hati sangat hampir kepada Allah. Doa ialah luahan rasa harap, lemah dan memerlukan daripada seorang hamba yang hina kepada Tuhannya Yang Maha Mulia. Apa respons Allah apabila ada hamba yang berdoa kepada-Nya?: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, maka sesungguhnya Aku  dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila berdoa kepada-Ku, maka hendaklah mereka memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada- Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Al-Baqarah 2: 186)

Allah ialah 'kekasih' setia yang sentiasa mendengar permintaan hamba-Nya lewat luahan doa. Malangnya manusia menzalimi diri sendiri dengan meminggirkan kasih sayang Allah dengan enggan berdoa. Padahal manusia memerlukan Allah, sedangkan Allah tidak memerlukan manusia.  Dalam Islam, kita dididik untuk  memulakan setiap aktiviti kehidupan dengan doa. Paling kurang kita dituntut memulakan kerja dengan ucapan 'bismillah' - dengan nama Allah. Doa bukan sekadar 'memberitahu Allah apa yang kita harapkan, kerana Allah Maha Mengetahui tetapi doa ialah pengakuan seorang hamba tentang rasa rendah dan hina diri di hadapan Tuhannya. Allah sangat menyayangi hamba-Nya yang tawaduk. Oleh itu dengan berdoa, seseorang akan dekat dan bersama dengan Allah. Rasa ego yang menjadi hijab (penutup) antaranya dengan Tuhan sudah tersingkap. Da paling utama mengikut ajaran Islam ialah solat. Hakikatnya solat juga sebuah doa. Apa kesan solat dalam menangani kegelisahan jiwa? "Sungguh, manusia diciptakan bersifat suka mengeluh. Apabila ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah. Dan apabila mendapat kebaikan dia menjadi bakhil. Kecuali orang yang mengerjakan solat, mereka yang sentiasa menunaikan solat." (Al-Ma'arij 70: 19-22)

Doa bukanlah jalan keluar atau resolusi akhir apabila kita berdepan dengan suatu masalah. Sebaliknya doa perlu dilantunkan pada permulaan, pertengahan dan akhir sesuatu urusan. Dimulakan dengan bismillah, disudahi dengan alhamdulillah. Dengan membaca doa walaupun sekadar 'bismillah, kita akan bersama Allah. Rasulullah bersabda: "Setiap ucapan atau perbuatan baik yang tidak dimulai dengan mengingati Allah  maka akan terputus (daripada rahmat Allah).” (Riwayat Ahmad)

MELAKSANAKAN  AMALAN WAJIB DAN MEMPERBANYAKKAN AMALAN SUNAT.

Amalan sunat dikenali sebagai ibadah taqarrubi. Ertinya, ibadah yang mendekatkan seorang hamba kepada  illah. Rasulullah bersabda, "Allah telah berfirman: 'Tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh seorang hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku yang lebih Aku sukai melebihi kewajipan yang telah Kutetapkan kepadanya. Sentiasalah dia mendekatkan diri kepada-Ku dengan  ibadah nafilah (sunat) sehingga Aku mencintainya. Jika Aku telah mencintai- Nya, maka Aku menjadi telinganya yang dengannya dia mendengar, menjadi matanya yang dengannya dia melihat dan menjadi tangannya yang dengannya ia memegang. Jika dia memohon kepada- Ku pasti Aku kabulkan dan seandainya dia meminta kepada-Ku, pasti Aku beri." (Riwayat al-Bukhari)

Bagi mereka yang hidupnya sentiasa bersama Allah, tidak ada rasa dukacita. dan takut. Allah berfirman: "Ketahuilah sesunguhnya wall wali Allah tidak akan rasa rasa takut dan dukacita pada hati mereka, dan mereka tidak bersedih hati." (Yunus 10:62)

Tidak akan ada rungutan dan keluhan apalagi rasa putus asa dan kecewa. Tidak akan ada stres kerana mereka tidak bergantung pada diri sendiri, bahkan semuanya disandarkan kepada Allah, Hidup bersama Allah ialah hidup yang kaya, kerana Allah itu Maha Kaya. Hidup yang tenang, kerana Allah itu Maha Penyayang, Hidup yang kuat, kerana Allah itu Maha Gagah. Apabila kita melaksanakan tugas sebagai hamba-Nya, maka Allah akan memberi segala kecukupan untuk melaksanakan tugas itu. Demikian yang Rasulullah ajar kepada Abdullah bin Abbas melalui sabda Baginda: "Wahai budak, sesungguhnya aku ingin mengajar kamu beberapa kalimah: 'Jagalah Allah, Dia akan jaga kamu. Jagalah Allah kamu akan dapati Dia di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah, apabila kamu memohon bantuan, maka mohonlah kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya jikalau seluruh umat berkumpul untuk memberi sesuatu manfaat kepada kamu, nescaya mereka tidak berupaya untuk memberi manfaat kepada kamu melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepada kamu. Dan sekiranya  umat berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu  memudaratkan kamu melainkan apa yang telah ditakdirkan Allah ke atas kamu. Telah diangkat pena-pena dan telah ditetapkan takdir-takdir." (Riwayat al-Tirmizi)

 

Kredit:Penulis

Post a Comment

0 Comments